-->
Home » » Misteri Air Mata Kehidupan

Misteri Air Mata Kehidupan

Pernahkah pembaca mendengar kisah lagenda mata air kehidupan atau Elixir of Life? Kepada yang tidak pernah mendengar lagenda ini, penulis ingin menulis serba sedikit mengenai mata air kehidupan yang misteri ini. Menyentuh mengenai kisah mata air kehidupan ini, penulis tidak menjumpai sebarang petunjuk sejak bila fenomena mata air kehidupan ini timbul.Lukisan yang menggambar seorang raja memegang cawan yang mengandungi air kehidupan.

Namun, apa yang pasti adalah manusia sememangnya menginginkan kehidupan yang abadi. Sifat seperti ini yang memungkinkan bahawa kisah mata air kehidupan ini tercetus. Terdapat kisah di mana seorang maharaja China iaitu Shih Huang Di telah menghantar pemimpin kanannya iaitu Xu Fu bersama 500 orang perempuan muda dan 500 orang lelaki muda ke timur untuk mencari mata air kehidupan. Akan tetapi kesemua mereka tidak pernah pulang ke tanah air mereka. Ada dakwaan menyatakan bahawa mereka telah menjumpai sebuah pulau yang belum lagi didiami dan membina kehidupan di situ. Pulau tersebut dipercayai adalah Jepun.

Nabi Khidir dan Mata air kehidupan
Bagi masyarakat Islam, umumnya mengetahui bahawa Nabi Khidir adalah insan yang dianugerahkan oleh Allah swt dengan kehidupan yang abadi. Nabi Khidir telah dikaitkan dengan Nabi Musa as dalam surah al-Kahfi ayat 65 sehingga 82. Miskipun Allah swt tidak memberitahu siapakah gerangan insan yang bersama Musa as tersebut tetapi ramai percaya termasuk para sahabat dan para tabiin yang mana insan alim yang bersama Musa as adalah Nabi Khidir as.
Lukisan Nabi Khidir ketika menjumpai mata di samping Zulkarnain.

Menurut satu riwayat, Nabi Khidir as adalah pengikut setia Zulkarnain. Semasa dalam satu misi pencarian mata air kehidupan, Nabi Khidir telah menjumpai mata air misteri tersebut. Diriwayatkan bahawa, Khidir telah meminum air tersebut selepas Zulkarnain menolak untuk meminumnya. Kisah ini diceritakan secara terperinci dalam kitab lama, Alexander Romance yang ditulis pada kurun ke-3 masihi. Kitab Alexander Romance juga secara halusnya memperihalkan raja Macedonia daripada sudut mistik dan keajaiban. Kitab purba tersebut mempunyai persamaan ketara dengan al-Quran terutama daripada kisah Alexander(al-Quran disebut Zulkarnain) yang memerangi kaum gasar, Yakjuk dan Makjuk.

Pengasas kepada Negara China, Maharaja Shih Huang Di adalah seorang raja yang betul-betul obses terhadap kehidupan yang abadi. China mengambil nama daripada nama asal beliau iaitu Shih atau Qin yang lama-kelamaan disebut China.
Terkenal sebagai maharaja yang zalim dan kuku besi, beliau tidak mahu kegemilangan dan kemasyhuran yang dicipta olehnya bakal diragut oleh kematiannya. Beliau benar-benar takut akan kematian. Beliau pernah membunuh 460 cendikiawan Confucius dengan menanam mereka hidup-hidup hanya kerana tidak bersependapat dengannya.
Patung Shih Huang Di.
Beliau telah memaksa pemimpin-pemimpin kanannya merantau mencari mata air kehidupan di seluruh ceruk dunia namun malangnya, mata air tersebut gagal dijumpai.
Untuk meredakan kemarahan dan kekecewaan beliau, seorang tabib yang amat dipercayai oleh beliau telah mencadangkan sesuatu cecair perak iaitu merkuri atau raksa untuk diminum. Tanpa menyedari kesan sampingan raksa kepada tubuh manusia, beliau telah meminumnya secara konsisten sehinggalah meragut nyawanya pada 210 masihi yang ketika itu baru sahaja mencecah umur 49 tahun.

Kisah pelik di sebalik kematiannya
Terdapat sebuah kisah sebelum kematiannya di mana pada tahun 210 masihi, terdapat sebuah meteor telah terhempas di Dongjun, China. Yang menjadi peliknya, pada meteor tersebut tertera tulisan "Maharaja akan meninggal dunia dan empayarnya akan berpecah". Selepas mengetahuinya, Shih Huang Di cukup berang sehingga beliau mengarahkan tenteranya membunuh kesemua orang yang berada di persekitaran tempat jatuhnya meteor tersebut. Tidak cukup di situ, meteor tersebut telah dibakar sehingga menjadi serbuk dan debu.
Ironinya, pada tahun tersebut, Shih Huang Di telah jatuh sakit dan menjadi bergitu uzur. Tidak lama selepas itu, beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang pewaris dan empayarnya berpecah dan musnah. Tulisan pada meteor tersebut telah menjadi realiti.
Lagenda Count St. Germain sangat terkenal di Eropah terutama di Perancis. Lelaki ini hampir tidak diketahui asal usulnya namun beliau sangat terkenal sehingga mendengar namanya sahaja membangkitkan rasa takjub. Disebabkan itu sebuah kelab bola sepak daripada Paris mengabadikan nama St. Germain pada nama kelabnya.
St. Germain bagaikan seorang yang sempurna yang tiada taranya. Dengan berkebolehan bermain viola dengan cukup baik, memiliki bakat melukis yang hebat, berpuisi, menulis lagu serta mampu bercakap dalam pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Inggeris, Jerman, Arab, Polish, Belanda, Russia, China dan Latin telah menyebabkan beliau dikagumi dan dihormati.
Count St. Germain
Beliau antara salah seorang individu yang paling misteri yang dilahirkan di dunia. Banyak peristiwa yang membuatkan beliau terkenal. Antaranya apabila beliau diundang ke kediaman Madame de Pompadour pada 1760. Gundik King Louis XVI terkejut besar apabila wajah beliau langsung tidak dimakan usia kerana pada 1710, beliau pernah mengenali St. Germain yang mana pada ketika itu berusia lewat 40-an. Jikalau diikutkan, St. Germain telahpun berusia 90 tahun pada tarikh pertemuan 1760 tersebut.
Apabila ditanya oleh Madame de Pompadour, St. Germain bagaimanapun hanya menjawab dengan tenang;
"Madame, I am very old"
Terdapat dakwaan menyatakan bahawa St. Germain pernah meminum air kehidupan dan usianya bagaikan terhenti saat di mana beliau meminum mata air tersebut. Sehingga kini, misteri keabadian St. Germain tetap kekal misteri sepertimana kisah keabadian Khidir as.
Selain daripada mereka bertiga, banyak lagi individu yang berkait dengan mata air kehidupan dan kehidupan yang abadi. Antaranya adalah Nicholas Flamel, Enoch(Nabi Idris as), Nabi Ilyas as dan St. George.
Persoalannya, apakah wujud mata air kehidupan itu di dunia ini? Jikalau wujud, kenapa ia masih belum lagi dijumpai sedangkan kebanyakan tempat di dunia ini sudah pun diterokai termasuk sebahagian besar Antartika. Lagenda mata air kehidupan masih lagi misteri.

0 comment:

Posting Komentar

Back To Top